September 15, 2014

Kuala Lumpur - Raub : Cikgu Lily Kahwin

Selamat pagi.

Hari ni dah masuk hari ketiga cuti, dan semalam seharian Husna dan teman sekelas habiskan dengan mengembara ke Raub. Perjalanan pergi, sepanjang di sana dan balik ke KL je memakan masa lebih dari separuh hari ! Husna yakin sampai je rumah semalam, masing-masing pastinya separuh mati tetapi kenangan yang kami cipta semalam sangat berharga sebelum kami tinggalkan alam persekolahan kelak yang membuatkan kami tidak kisah dengan semua tu. 1001 memori sepanjang berada di tanah Raub untuk menghadiri majlis perkahwinan guru kelas yang merangkap guru Kimia kami pastinya kami takkan dapat lupakan.

Bertolak dari Pekeliling lebih kurang 8 pagi, kami tiba di tanah Raub pada jam 9.40 pagi. Sepanjang perjalanan yang memakan masa 1 jam lebih itu, Husna dan teman sekelas berasa sangat teruja dan gugup kerana itulah pertama kali kami keluar dari KL tanpa ibu bapa atau guru di sisi. Pengalaman yang memaksa kami agar berdikari dan menjaga adab di tempat orang. Alhamdulillah tiada sebarang musibah menimpa kami semalam.

Setibanya di perhentian bas di Raub, Husna memaklumkan kepada guru kelas mengenai ketibaan kami di sana. Sementara menunggu cikgu menjemput kami, kami sempat bergambar bagi mengukuhkan lagi memori indah yang kami cipta di sana. Jika dikenang semula, terasa lawak pula kerana kami sangat 'batak' mengambil gambar semalam !

Perjalanan dari perhentian bas ke rumah cikgu di Taman Kemajuan, Raub hanya memakan masa lebih kurang 5 minit. Tiba sahaja di rumah cikgu, kami yang kelaparan telah dihidangkan makanan oleh cikgu. Kemudian kami membantu apa yang patut tetapi kami lebih banyak membuang masa dengan bergambar. Lebih kurang jam 12 majlis pun bermula dengan kedatangan tetamu yang tidak putus-putus datang termasuk rakan kerja cikgu atau lebih tepat lagi guru-guru SMTKL termasuklah pengetua sekolah yang duduk semeja dengan kami semalam. Kami juga sempat bekerja sebagai pencedok lauk untuk tetamu semalam yang tidak ubah seperti mak cik dining !

Jam 2 pengantin lelaki diarak ke bahagian hadapan pintu gerbang untuk bertemu dengan cikgu, muka masing-masing ditutup dengan kipas. Kemudian setelah mata bertentang mata, mereka diarak ke pelamin. Dan semalam Husna dapat merasa menjadi pemegang bunga mangga dengan seorang lagi teman sekelas. Selepas mengarak penganting ke pintu gerbang tugas kami berdua pun selesai. Kemudian, kami menghabiskan masa dengan bergambar bersama kedua-dua mempelai serta guru-guru sekolah.

Majlis tamat lebih kurang jam 3 lebih dan kami sempat mengemas apa yang patut. Jam 4 lebih kami sudah bergerak ke perhentian bas. Walaupun kepenatan, kami bersyukur segala-gala yang kami rancang berjalan dengan lancar. Tiada sebarang perkara pun yang lari daripada kami punya expectation. Lebih kurang jam 5 kami beryolak dari Raub dan sepanjang perjalanan tu lebih banyak diisi dengan tidur. Sampai sahaja di Pekeliling, dengan kepenatan yang jelas terpancar di wajah masing-masing, kami bersalaman sebelum pulang. Husna yakin, sebelum jam 8.30 malam semua dah tiba di rumah masing-masing semalam.

Terasa waktu yang meninggalkan kami semalam begitu panjang tetapi apalah sangat jika mahu dibandingkan dengan kenangan yang tercipta sepanjang hari semalam...

P.S. terima kasih 5 Awam 1 (2014) !























No comments:

Post a Comment